![]() |
Ilustrasi (Web) |
► Pendapat pertama
Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno
sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia
merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb
Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang
bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama
gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak.
Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak
itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi
pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15
Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala.
Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian
mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan
darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.
Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda
tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan
mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima
pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan
mereka.
► Pendapat kedua
Mengaitkannya dengan kematian paderi St.
Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2
versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.
● Versi Pertama
Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom
yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para
mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang
yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut
dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan,
beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan
banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan
diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau
memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14
Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut
Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap
agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh
penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan
anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh,
beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang
bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang
Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang
demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
● Versi Ke-dua
Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera
yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan
peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius
II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine
menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan
terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini
akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine
ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
► Pendapat Ke-tiga
Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam
Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan
peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.
Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat.
14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada
hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang
zalim.
► Pendapat Ke-empat
Menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena
dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari.
Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa
asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya
serta agama bagi umat Islam.
Hukum Menyambut Hari Valentine
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam
al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari
kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya
hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah
S.W.T.:
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu
syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli
syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai
Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah
berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w
pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari
raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah.
Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi
kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan
Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.
Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan
diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan
Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman Salafussoleh iaitu 3
kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam
kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul
al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah
umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang
langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya
serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan
Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita
perbincangkan ini.
Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk
meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini
ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan
tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia
termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis
no: 3512.
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini
merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga
Kristian. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia
tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk
mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi
bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama
Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine
sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran
yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang
durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut
diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti
pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan
berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan
membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut
Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari
Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka
tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu
namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan
dosa besar.”
Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika
sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t.
memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya
perzinaan.
Firman-Nya: Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
Sebagaimana yang pernah dilaporkan Pengasas Pusat
Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof (dalam akhbar
Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007), beliau menegaskan bahawa kes remaja
hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau
berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka
lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day.
Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil
pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”
Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi
Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat
Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T..
Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad)
sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah
(kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk
yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120
Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari
Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu
perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin
membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang
sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara
yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa.
Firman-Nya Iblis berkata: "
Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi
sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan
zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di
antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang
syirik". – al-Hijr (15) : 39-40
Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para
ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi
seluruh umat Islam.“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak
pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur
Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah
dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan
oleh agama Islam”.
Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil
tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah
ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang
dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai
gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak
yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.
[Dari Berbagai Sumber]
Mantaf banget postingannya, tapi alangkah baeknya redaksi bahasanya dirubah ke dalam bahasa indonesia, coz penggunaan bahasa melayu malaysia dalam artikel ini bikin agak ruwet dalam pencernaan maknanya ^_^
BalasHapus